Sejarah Juventus F.C.

Tahun-tahun awal

Gambar bersejarah barisan pemain Juventus, 1898.

Juventus ditubuhkan dengan nama Sport-Club Juventus pada lewat 1897 oleh sekumpulan pelajar dari sekolah Lyceum di Turin tetapi kelab ini dinamakan semula sebagai Foot-Ball Club Juventus dua tahun kemudian.[19] Kelab ini menyertai Kejuaraan Bola Sepak Itali pada tahun 1900. Pada tahun 1904, seorang ahli perniagaan yang bernama Ajmone-Marsan memulihkan kewangan kelab Juventus, lalu membuatkan ia dapat memindahkan padang latihan dari Piazza d'Armi ke Velodrome Umberto I. Pada masa itu, pasukan ini memakai jersi hitam dan merah jambu. Juventus menjuarai kejuaraan liga buat kali pertama pada tahun 1905 ketika bermain di padang Velodrome Umberto I. Pada masa ini, warna kelab telah ditukar kepada hitam dan putih, yang diinspirasikan oleh kelab Inggeris, Notts County.[20]

Terdapat perpecahan di kelab itu pada tahun 1906, selepas beberapa kakitangan berpindah dari Juve. Presiden ketika itu, Alfred Dick tidak berpuas hati dengan ini lalu meninggalkan meninggalkan beberapa pemain terkenal untuk menubuhkan FBC Torino dan seterusnya bermulalah perlawanan Derby della Mole.

Era dominasi

Pemilik Fiat, Edoardo Agnelli mengawal kelab ini pada tahun 1923 seterusnya membina sebuah stadium baru.[21] Ini membantu Juventus untuk meraih scudetto (kejuaraan liga) buat kali kedua pada musim 1925-26 selepas menewaskan Alba Roma dengan agregat 12-1. Kelab ini mula menjadi kelab gergasi Itali sejak era 1930an seterusnya menjadikan kelab profesional pertama di Itali. Mereka menjuarai lima gelaran liga berturut-turut di bawah bimbingan Carlo Carcano dan membentuk teras pasukan kebangsaan Itali ketika era Vittorio Pozzo termasuk skuad juara dunia 1934.[22] Bintang Juventus yang lahir pada era ini antaranya Raimundo Orsi, Luigi Bertolini, Giovanni Ferrari, Luis Monti dan ramai lagi.

Sivori, Charles dan Boniperti membentuk Magical Trio.

Juventus berpindah ke Stadio Comunale, tetapi sepanjang 1930an dan majoritinya pada era 1940an mereka tidak dapat menawan semula dominasi liga. Selepas Perang Dunia Kedua, Gianni Agnelli dilantik menjadi presiden kehormat.[23] Juventus menambah dua lagi kejuaraan liga pada musim 1949–50 dan 1951–52 ketika di bawah pengurusan dari England, Jesse Carver. Dua penyerang dibawa masuk pada musim 1957–58 iaitu John Charles dari Wales dan Omar Sivori dari Argentina. Mereka berdua bermain bersama pemain lama, Giampiero Boniperti. Pada musim itu menyaksikan Juventus dianugerahkan satu bintang emas sebagai penghargaan telah menjuarai 10 gelaran liga. Ini juga menyaksikan Juventus merupakan kelab Itali pertama mendapat bintang emas ini. Pada musim yang sama, Omar Sivori menjadi pemain Juventus pertama meraih anugerah Pemain Terbaik Eropah.[24] Pada musim berikutnya, kelab ini berjaya melengkapkan double selepas menewaskan Fiorentina untuk membolot trofi Serie A dan Coppa Italia. Boniperti bersara pada 1961 dan menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab dengan 182 gol dalam semua kejohanan dalam masa 45 tahun.

Pada dekad seterusnya iaitu era 1960an, Juventus hanya memenangi satu kejuaraan liga iaitu pada musim 1966–67.[25] Walau bagaimanapun, era 1970an menyaksikan Juventus mula kembali semula sebagai status kelab gergasi dalam bola sepak Itali. Di bawah bimbingan dan juga bekas pemain, Čestmír Vycpálek, Juventus mendapat gelaran scudetto pada musim 1971–72 dan 1972–73.[26] Pemain-pemain yang ternama pada masa itu antaranya ialah Roberto Bettega, Franco Causio dan José Altafini. Pada tahun-tahun seterusnya, mereka menambah lagi dua kejuaraan liga. Giovanni Trapattoni mula mengambil alih jawatan pengurus di Juventus dan berjaya membawa Juventus ke kemenangan pertama di pentas Eropah, iaitu berjaya menjulang trofi Piala UEFA pada tahun 1977 dan meneruskan dominasi Juventus pada awal era 1980an.[27] Semasa tempoh pengurusan Trapattoni, ramai pemain Juventus membentuk tulang belakang pasukan kebangsaan Itali ketika era pengurusan Enzo Bearzot termasuk kejohanan Piala Dunia 1978, Euro 1978 dan menjadi juara dunia pada Piala Dunia 1982.[28][29]

Pentas Eropah

Era Trapattoni merupakan era paling cemerlang iaitu ketika 1980an. Pada dekad ini, Juventus meraih tiga gelaran liga sejak 1984.[30] Ini bermaksud Juventus telah memenangi 20 gelaran liga Itali dan mereka dibenarkan untuk ditambah bintang kedua di jersi kelab seterusnya menjadikan Juventus satu-satunya kelab Itali yang mendapat penghargaan ini.[31] Pada masa ini, bintang Juventus telah menarik dunia antaranya Paolo Rossi yang mendapat anugerah Pemain Terbaik Eropah berikutan sumbangannya kepada Itali untuk menjuarai Piala Dunia FIFA 1982 selain beliau menjadi pemain terbaik kejohanan.[32]

Barisan pemain Juventus untuk musim 1983-84. Mereka meraih gelaran scudetto selain menjulang trofi Coppa Italia.

Bintang dari Perancis, Michel Platini menerima anugerah Pemain Terbaik Eropah pada tiga tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 1983, 1984 dan 1985 dan menjadi sebuah rekod.[33] Juventus satu-satunya kelab yang mempunyai pemain memenangi anugerah ini sepanjang empat tahun berturut-turut.[34] Tambahan lagi, Platini turut menjaringkan gol kemenangan pada Final Piala Eropah 1985 menentang Liverpool dan walau bagaimanapun, ia dicemari satu tragedi yang mengubah bola sepak Eropah.[35] Pada tahun yang sama, Juventus menjadi kelab pertama dalam sejarah bola sepak Eropah yang telah membolot ketiga-tiga kejohanan UEFA[36][37] dan Juventus juga kelab pertama dalam sejarah dan satu-satunya kelab pada masa kini telah memenangi kejohanan Eropah serta gelaran juara dunia setelah memenangi Piala Antara Benua 1985.[38]

Selepas menjuarai musim 1985–86, baki era 1980an tidak berapa cemerlang buat Juventus. Kelab ini perlu berdepan Napoli yang mempunyai pemain legenda iaitu Diego Maradona, kedua-dua kelab Milan iaitu Milan dan Inter yang telah meraih kejuaraan scudetto. Juventus hanya menang pada Coppa Italia dan Piala UEFA pada tahun 1990 di bawah bimbingan bekas legenda, Dino Zoff.[39] Pada tahun 1990, Juventus berpindah ke stadium baharu iaitu Stadio delle Alpi, yang dibina untuk persiapan Piala Dunia FIFA 1990 yang dianjurkan oleh Itali.[40] Ketibaan bintang Itali pada tahun berikutnya iaitu Roberto Baggio telah memecah rekod perpindahan termahal dunia pada ketika itu. Pada awal 90an di bawah Luigi Maifredi, Juventus sedikit meraih kejayaan dengan menjuarai Piala UEFA pada tahun 1993.

Era Lippi

Marcello Lippi mengambil alih jawatan pengurus Juventus pada permulaan musim 1994–95.[41] Musim pertama Lippi di Juventus merupakan petanda baik bagi Juve apabila mereka menjulang trofi pertama Serie A sejak pertengahan 1980an selain menjuarai Coppa Italia.[42] Pemain-pemain pada masa itu termasuklah Ciro Ferrara, Roberto Baggio, Gianluca Vialli dan pemain muda, Alessandro Del Piero. Lippi membawa Juventus untuk memenangi Supercoppa Italiana buat pertama kali. Selain itu, Lippi juga membimbing Juventus ke perlawanan akhir dan menjulang trofi Liga Juara-Juara pada musim berikutnya selepas mengalahkan Ajax dalam penentuan penalti selepas terikat seri 1-1.[43]

Fail:Del Piero final.jpgAlessandro Del Piero menjulang trofi Liga Juara-Juara pada 1996.

Juventus meneruskan rentak cemerlangnya dengan memenangi Serie A pada musim 1996–97 dan 1997–98, Piala Super UEFA 1996[44] dan Piala Antara Benua 1996.[45] Juventus melangkah ke perlawwanan akhir Liga Juara-Juara pada tahun 1997 dan 1998, namun kedua-duanya Juventus sekadar naib juara selepas tewas kepada Borussia Dortmund dan Real Madrid.[46][47]

Marcelo Lippi, salah satu jurulatih cemerlang Juventus.

Lippi kembali ke Juventus pada 2001 selepas Carlo Ancelotti dipecat. Lippi menandatangani beberapa pemain yang kemudian mencipta nama di Juventus antaranya Gianluigi Buffon, David Trezeguet, Pavel Nedvěd dan Lilian Thuram. Kesemua pemain ini membantu Juventus untuk menambah lagi dua gelaran scudetto ketika musim 2001–02 dan 2002–03.[48] Juventus juga layak ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara pada tahun 2003 menentang Milan namun Juventus tewas dalam penentuan penalti selepas terikat seri 0-0. Pada musim berikutnya, Lippi dilantik menjadi ketua jurulatih pasukan kebangsaan Itali.

Skandal "Calciopoli"

Fabio Capello dilantik menjadi jurulatih Juventus pada tahun 2004 dan membawa Juve untuk menambah lagi dua gelaran Serie A berturut-turut. Walau bagaimanapun pada Mei 2006, Juventus antara lima kelab terbabit dalam skandal bola sepak Itali 2006. Hukumannya Juventus dipaksa bermain di Serie B pada musim hadapan sekali gus buat pertama kali dalam sejarah. Kejuaraan liga pada tahun 2005 dan 2006 di bawah bimbingan Capello turut ditarik balik.[49]

Ramai pemain Juventus terkejut dengan keputusan bahawa mereka berkemungkinan akan beraksi di Serie B. Pemain-pemain ini membuat keputusan untuk berpindah antaranya Lilian Thuram, Zlatan Ibrahimović dan juga Fabio Cannavaro. Walau bagaimanapun, pemain ternama lain seperti Buffon, Del Piero, Trezeguet dan juga Nedvěd bertekad untuk membantu Juventus kembali semula ke Serie A manakala pemain muda dari Primavera (pasukan belia) seperti Sebastian Giovinco dan Claudio Marchisio menerima tawaran ke pasukan pertama. Juventus kembali semula ke Serie A sebagai juara liga selepas menghadapi musim 2006–07 selain Del Piero menjadi penjaring terbanyak dengan 21 gol.

Seawal 2010, Juventus menganggap cabaran pelucutan scudetto mereka dari tahun 2005 dan 2006 bergantung kepada keputusan perbicaraan berhubung dengan skandal 2006.[50] Siasatan seterusnya pada tahun 2011 mendapati penyingkiran Juventus pada tahun 2006 adalah tanpa merit.[51] Apabila bekas pengurus besar Juventus, Luciano Moggi disabit di mahkamah berkaitan dengan skandal itu, keputusan rayuan telah ditolak oleh mahkamah pada tahun 2015. Juventus kemudian menyaman Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) sebanyak 443 juta euro bagi kerosakan yang disebabkan oleh penyingkiran pada tahun 2006. Presiden FIGC, Carlo Tavecchio menawarkan untuk berbincang memberikan semula scudetto yang ditarik balik sebagai pertukaran Juventus tidak membuat tuntutan mahkamah.

Kembali ke Serie A

Selepas kembali ke Serie A pada musim 2007–08, Juventus melantik Claudio Ranieri sebagai pengurus baru mereka.[52] Juve menamatkan musim ini pada kedudukan ketiga liga dan layak ke pusingan kelayakan Liga Juara-Juara. Juventus akhirnya berjaya layak ke peringkat kumpulan selain menewaskan Real Madrid di tempat lawan dan di halaman sendiri sebelum Juve tewas pada peringkat kalah mati kepada Chelsea. Ranieri dipecat serta merta berikutan keputusan tidak membanggakan dan Ciro Ferrara dilantik sebagai pengurus baru untuk menghadapi baki dua perlawanan terakhir musim 2008–09.

Walau bagaimanapun, tempoh Ferrara sebagai pengurus Juventus tidak terlalu memuaskan dan sehinggakan Juventus tersingkir dari Liga Juara-Juara dan Coppa Italia selain hanya menduduki tempat keenam liga pada penghujung Januari 2010. Kemudian, Ciro Ferrera dipecat dan digantikan oleh Alberto Zaccheroni sebagai pengurus sementara. Zaccheroni tidak dapat membantu meningkatkan prestasi Juventus dan seterusnya Juve hanya sekada menduduki tempat ketujuh liga. Untuk musim 2010–11, Jean-Claude Blanc digantikan oleh Andrea Agnelli sebagai presiden kelab. Agnelli membuat keputusan untuk menggantikan Zaccheroni dengan pengurus Sampdoria, Luigi Delneri. Walau bagaimanapun, Delneri gagal untuk melonjakkan prestasi pasukan dan membawa kepada pemecatannya. Antonio Conte, pengurus Siena yang berjaya membimbing pasukannya ke Serie A dinamakan sebagai pengurus yang baharu.[53] Pada September 2011, Juventus akhirnya memiliki stadium baharu iaitu Stadium Juventus yang baru dibina.[54]

Era Conte dan Allegri

Di bawah bimbingan Conte, Juventus menjadi kelab pertama memegang rekod tanpa kalah dalam format terkini sepanjang 38 perlawanan liga ketika musim 2011-12.[55] Penghargaan lain termasuklah kemenangan terbesar di tempat lawan (5–0 di Fiorentina) dan rekod pertahanan terbaik (20 gol dibolos, paling sedikit dalam format liga terkini) dalam Serie A.[56]

Pada musim 2013–14, Juventus memenangi gelaran liga buat kali ketiga berturut-turut dan rekod dengan pengumpulan mata 102 mata dengan 33 kemenangan.[57][58] Gelaran ini merupakan kejuaraan liga rasmi buat kali ke-30 dalam sejarah kelab.[59] Juventus juga hanya melangkah ke separuh akhir Liga Europa selepas tewas di tempat sendiri menentang Benfica sekali gus terlepas perlawanan akhir di Stadium Juventus.[60]

Barisan pemain Juventus sebelum menghadapi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Shakhtar Donetsk pada musim 2012-13.

Pada musim 2014–15, Massimiliano Allegri dilantik sebagai pengurus dan berjaya meraih gelaran liga buat kali ke-31 dan kali keempat berturut-turut. Selain itu, Juve juga meraih rekod Coppa Italia buat kali kesepuluh dan seterusnya melengkapkan double pada musim ini.[61] Juve juga menewaskan Real Madrid pada peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara dengan agregat 3-2 dan bertemu Barcelona pada perlawanan akhir di Berlin dan ini buat kali pertama sejak Liga Juara-Juara UEFA 2002-03.[62] Juventus tewas kepada Barcelona dengan jaringan 3-1 selepas Ivan Rakitić menjaringkan gol seawal minit keempat. Álvaro Morata merapatkan kedudukan pada minit ke-55 dan Barcelona mendahului semula hasil jaringan Luis Suárez pada minit ke-70 dan gol Neymar pada penghujung perlawanan.[63] Pada 25 April 2016, Juventus meraih kejuaraan liga buat kali kelima berturut-turut (secara keseluruhan kali ke-32) sejak kali terakhir memenangi liga lima musim berturut-turut pada 1930–31 dan 1934–35. Juventus meraikan kemenangan selepas pasukan di tangga kedua, Napoli tewas kepada Roma dan memberikan peluang cerah Juve untuk menjulang trofi liga.[64] Pada 21 Mei, Juve menjuarai Coppa Italia buat kali ke-11 dan kali kedua berturut-turut. Ini menjadikan Juventus kelab Itali pertama memenangi liga dan Coppa Italia dalam dua musim berturut-turut.[65][66][67]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Juventus F.C. http://www.bbc.com/sport/0/football/27463440 http://sportsillustrated.cnn.com/soccer/news/20140... http://www.deloitte.com/assets/Dcom-UnitedKingdom/... http://www.espnfc.com/juventus/story/2858561/juven... http://www.eurosport.com/football/juventus-claim-b... http://www.exor.com/index.php?p=azionariato&s=inve... http://www.exor.com/index.php?p=profilo&s=exor&lan... http://www.exor.com/portfolio/portafoglio_investim... http://www.fifa.com/classicfootball/clubs/matchrep... http://www.fifa.com/live-scores/clubs/club=italy-j...